Bayi 3 bulan ditemukan mati di bawah jagaan bapa panas baran
Bayi 3 bulan ditemukan mati di bawah jagaan bapa panas baran
Alor Setar: "Sebagai isteri saya maafkan, namun berharap dia (suami) mendapat hukuman setimpal atas perbuatan dilakukannya terhadap anak kami," kata wanita yang mahu dikenali sebagai Kamalia, 22, ibu kepada bayi lelaki yang dipercayai dibunuh bapa sendiri di sebuah rumah di Mukim Padang Hang, dekat sini kelmarin.
Bayi berusia tiga bulan itu dipercayai dibunuh bapanya sendiri selepas Kamalia melarikan diri kerana tidak tahan dipukul suaminya itu yang juga penagih dadah pada 4 Oktober lalu.
Menurut Kamalia, dia kemudian membuat laporan polis sebelum menumpang di rumah saudaranya kerana takut dengan suami yang mengancam mahu membunuhnya.
"Saya terpaksa meninggalkan tiga anak masing-masing dua perempuan berusia setahun dan enam tahun serta yang berusia tiga bulan.
"Sejak itu, hampir setiap hari saya ke balai polis untuk meminta pertolongan supaya anak-anak diselamatkan kerana bimbang dengan sikap panas baran serta suami yang mungkin bertindak luar kawalan berikutan berada bawah pengaruh dadah," katanya yang ditemui di rumah saudaranya di sini, hari ini.
Menurutnya, selepas beberapa hari merayu dan meminta tolong kerana bimbang dengan keselamatan anak, anggota polis ke rumahnya Ahad lalu sebelum menerima panggilan mengatakan suaminya sudah ditahan dan memintanya hadir ke balai polis.
"Sebaik tiba di balai polis, saya dimaklumkan bayi lelaki ditemui meninggal dunia atas katil dalam bilik rumah dan ketika itu saya sudah tidak mampu berfikir.
"Bagaimanapun, saya dimaklumkan dua lagi anak diserahkan kepada keluarga mentua untuk dijaga buat sementara waktu," katanya.
Menurutnya, sejak berkahwin pada 2019, suaminya sudah menunjukkan sikap panas baran serta cemburu buta selain kerap mengesyaki dia mempunyai hubungan dengan orang lain.
"Saya mengesyaki suami berperangai begitu kerana di bawah pengaruh dadah malah saya pernah menerima 27 jahitan di kepala akibat dipukul, mata dicungkil dan ditikam tangan serta peha.
"Semua itu berpunca daripada sikap cemburu suami sedangkan sejak kahwin saya hanya berada di rumah yang turut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) dipasangnya bagi memantau pergerakan saya," katanya.
Menurutnya, dalam kejadian baru-baru ini yang membuatkan dia keluar rumah ia berlaku kerana suami mahu membeli motosikal berkuasa besar namun dia diminta mencari penjamin.
"Pemilik kedai memberitahunya yang isteri boleh dijadikan penjamin namun ketika pulang rumah suami mempertikai dan menyoal kenapa saya perlu menjadi penjamin untuknya.
"Kerana sikap cemburu selain berada bawah pengaruh dadah, suami mula membuat pelbagai tuduhan terhadap saya sebelum berlaku pertengkaran sehingga dia memukul kepala dan mengugut mahu membunuh saya," katanya.
Kamalia berkata, setakat ini dia sudah membuat enam laporan polis sehingga suaminya ditangkap namun kerana kasihan selain berjanji mahu berubah membuatkan dia terpaksa menarik kembali semua laporan terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Kedah Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, suspek yang berusia 28 tahun sudah ditahan dalam serbuan dilakukan di rumahnya jam 2.50 petang, Ahad lalu.
"Ketika serbuan, polis menemui mayat seorang bayi lelaki dan pemeriksaan lanjut mendapati suspek turut positif methamphetamine.
"Mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat dan suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Difahamkan, hasil siasatan awal suspek mengaku memukul kepala, menampar muka serta memulas telinga mangsa kerana mendakwa bayi terbabit enggan minum susu dan kerap menangis.
Selain itu, suspek turut mendakwa dia memang menyedari bayinya itu sudah meninggal dunia dua hari sebelum itu.
Post a Comment for "Bayi 3 bulan ditemukan mati di bawah jagaan bapa panas baran"