VIRAL di media sosial video seekor monyet diperlakukan dengan teruk oleh seorang lelaki dengan tangan dan kakinya diikat selain badannya turut disimbah dengan cat yang berwarna merah.


Menurut sumber, monyet tersebut ditangkap kerana mencuri buah durian di kebun milik lelaki terbabit.


Monyet malang tersebut dipercayai terkena jerat yang dipasang oleh lelaki yang juga pemilik kebun itu.


Berdasarkan video viral itu, lelaki itu memarahi monyet tersebut tanpa henti kerana berang dengan perbuatan haiwan itu yang mencuri hasil kebunnya.


Dengan wajah yang tidak mengerti apa yang diperkatakan, monyet tersebut seolah-olah redha diperlakukan sedemikian.


Berikutan itu, netizen menyelar tindakan lelaki itu kerana menzalimi haiwan.

Namun tampil seorang individu mendakwa lelaki dalam video viral itu bukan menzalimi haiwan tersebut, tetapi lebih kepada amalan petua yang diamalkan oleh orang-orang lama.


“Apek tu tak bunuh pun beruk tu, cuma dia pasang jerat dan cat jer kat beruk untuk bagi peringatan kepada beruk lain. Beruk ini datang berkumpulan, jadi apabila seekor dah kena cat, tak akan ada lagi yang berani datang ke kebun itu.


“Beruk suka jatuhkan buah pramatang. So biasanya buah yang masih muda semua beruk akan jatuhkan. Ini pengalaman jer, arwah atok yang ajar cara ini,” katanya.