Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Inilah muka pemabuk yang belasah anggota Rela hingga maut

Inilah muka pemabuk yang belasah anggota Rela hingga maut


PETALING JAYA - Hanya kerana menegur jiran di dalam lif, seorang lelaki maut selepas dikejar dan dipukul dua beradik dipercayai mabuk di hadapan rumah mangsa di sebuah flat di Damansara di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan mendakwa seorang lelaki tempatan dipukul sehingga tidak sedarkan diri sekitar jam 9.15 malam, Sabtu.

"Mangsa yang berusia 45 tahun disahkan meninggal dunia pada jam 10.18 malam oleh pegawai perubatan yang hadir memeriksa mangsa di lokasi kejadian.

"Siasatan awal mendapati mangsa dipukul di bahagian kepala menggunakan topi keledar dan sebatan kayu oleh dua lelaki tempatan di hadapan rumahnya," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Fakhrudin berkata, mangsa yang bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) secara sepenuh masa merupakan jiran kedua-dua suspek yang tinggal selang beberapa tingkat dari rumahnya.

"Mangsa menegur salah seorang suspek yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk semasa mereka berada di dalam lif.

"Keluar dari lif berkenaan, suspek yang berang mengejar mangsa sebelum memukul mangsa sehingga tidak sedarkan diri," jelasnya.

Katanya, bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun di sekitar Kota Damansara di sini pada Ahad.

Menurutnya, polis turut merampas baju-T warna hitam, sehelai seluar jean pendek warna kelabu, seutas tali pinggang dan sepasang kasut dipercayai dipakai suspek semasa kejadian.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku terlibat dalam kes terbabit bersama adik lelakinya yang berusia 24 tahun yang masih bebas," katanya.

Fakhrudin berkata, suspek yang juga seorang penganggur direman enam hari bermula Ahad bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Saksi kejadian atau yang mengetahui keberadaan seorang lagi suspek diminta tampil ke balai polis berhampiran atau hubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Hafizee Ismail di talian 0133587571," katanya.

Sinar Harian

Post a Comment for "Inilah muka pemabuk yang belasah anggota Rela hingga maut"