Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Kanak-kanak 3 tahun mati didera rakan bapa

Kanak-kanak 3 tahun mati didera rakan bapa

JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 3 tahun 9 bulan m4ut dipercayai akibat didera seorang jurujual yang juga rakan kepada bapa mangsa dalam kejadian di Jalan Ria 2, Taman Skudai di sini hari ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung kejadian itu selepas bapa mangsa membuat laporan polis antara pukul 10 hingga 11 malam, semalam.

Sehubungan itu katanya, dua individu iaitu seorang lelaki yang bekerja sebagai jurujual berusia 28 tahun dan seorang pembantu rumah wanita warga asing berusia 40 tahun ditahan hari ini.

“Bapa mangsa bekerja di Singapura, manakala ibunya bekerja di Yong Peng dan mereka telah mengamanahkan rakan mereka iaitu suspek untuk menjaga dua anak mereka dengan bayaran RM2,800 sebulan.

“Difahamkan, mangsa dan adiknya yang berusia setahun telah dijaga oleh suspek sejak tiga bulan lalu. Dalam kes ini hanya mangsa dipercayai didera, manakala adiknya tidak diapa-apakan,” katanya selepas mengunjungi kediaman suspek di sini hari ini.

Tambah Kamarul Zaman, pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan di tubuh badan mangsa melibatkan lebam dan luka kecil.

“M4yat mangsa telah dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sumber: KOSMO!

Post a Comment for "Kanak-kanak 3 tahun mati didera rakan bapa"