Tak Sempat Lihat Cahaya Mata, Anggota Kastam Baru 2 Bulan Kahwin Kemalangan Kepala Remuk Diheret Lori
Tak Sempat Lihat Cahaya Mata, Anggota Kastam Baru 2 Bulan Kahwin Kemalangan Kepala Remuk Diheret Lori
KLANG – Seorang anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) maut selepas terbabit dalam satu kemalangan di Persiaran Sultan Hishamudin di Bandar Sultan Suleiman, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang, mangsa, Muhammad Faheen Zahari, 29, yang bertugas di Pelabuhan Utara meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd. Salleh berkata, kemalangan berlaku apabila mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha 125 sedang menuju ke Shah Alam dari Pelabuhan Utara.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa dari arah belakang ingin memotong sebuah lori di depannya namun gagal sebelum bergesel dengan lori tersebut.
“Mangsa kemudiannya jatuh di lorong kiri sebelum dilanggar sebuah lagi lori.
“Akibat pelanggaran itu mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah ( HTAR ) untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Jelasnya, dua pemandu lori berusia 29 dan 35 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, mangsa dikatakan baru sahaja melangsungkan perkahwinan dengan seorang guru dua bulan yang lalu dan difahamkan isterinya itu sedang mengandungkan anak mereka yang pertama.
Sumber: wowberita.my
Post a Comment for "Tak Sempat Lihat Cahaya Mata, Anggota Kastam Baru 2 Bulan Kahwin Kemalangan Kepala Remuk Diheret Lori"